Pewarnaan Gram
Pewarnaan Gram

Pewarnaan Gram

Pewarnaan Gram atau pewarna Gram, juga dikenali sebagai kaedah Gram, merupakan satu kaedah pewarnaan yang digunakan untuk membezakan spesies bakteria kepada dua kumpulan terbesar (gram positif dan gram negatif). Nama kaedah ini berasal dari seorang pakar bakteriologi Denmark yang membangunkan teknik ini, iaitu Hans Christian Gram.Pewarnaan gram membezakan bakteria melalui sifat kimia dan fizikal dinding sel bakteria melalui pengesanan peptidoglikan, yang wujud dalam dinding sel untuk bakteria bergram positif. [1] Bakteria gram positif mengekalkan pewarna kristal ungu, yang menyebabkan bakteria itu berwarna ungu lembayung, tetapi berlaku sebaliknya bagi bakteria gram negatif. Selepas dibasuhkan, pewarna balas ditambahkan (kebiasaannya safranin atau karbol fuksin) yang akan mewarnakan bakteria gram negatif menjadi merah jambu. Perlu diingatkan bahawa kedua-dua bakteria gram positif dan negatif meresap pewarna balas. Namun, pewarna balas tidak kelihatan pada bakteria gram positif kerana warna kristal ungu yang lebih gelap menutup warna merah jambu itu.Pewarnaan Gram hampir setiap kali dijadikan sebagai langkah pertama untuk identifikasi awal bagi sesuatu bakteria. Walaupun pewarnaan Gram adalah alat diagnostik yang berharga di dalam persekitaran klinikal dan penyelidikan, tidak semua bakteria boleh diklasifikasikan menggunakan teknik ini secara muktamad.